Thursday, July 10, 2008

DUA MINGGU YANG PENUH BERMAKNA ( 31 Mei – 14 Jun ’08 ) PART III

Akhirnya, setelah 9 hari bermukim di Mekah, kami perlu berangkat ke Madinah mengikut perancangan yang telah ditetapkan....kami akan bertolak ke Madinah selepas Asar...sebelum Zohor, kami mengemas semua barang-barang dan beg yang dibawa kerana kami akan stay di masjid sehingga Asar...selepas solat Asar pada hari itu, kami melakukan tawaf wida’ (tawaf selamat tinggal)...tika melakukan tawaf terakhir itu, air mataku menitis lagi... kerna terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada BaitULLAH...rinduku pada ’rumah suci’ itu akan berbunga kembali....pasti...;(


Sambil melangkah meninggalkan Kaabah, air mata ini masih bergenang...terasa belum terubat rindu ini untuk menatap Kaabah semahunya...namun, aku terpaksa akur pada ketentuanNya...kenangan dari hari pertama di Mekah terimbau silih berganti....walau terasa berat di hati untuk melangkah pergi, namun, jauh di sudut hati, ku ucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerna memberi peluang ku menjadi ’tetamu’ Nya kedua kali... ku lambaikan tangan pada Kaabah...sambil berbisik ke hati, bahawa aku akan datang lagi...inshaALLAH andai ada rezeki jua selari dengan izin dari Rabbi....biiznILLAH...

Setelah sampai di hotel, kami mengangkat barang-barang untuk dimasukkan ke dalam van untuk berangkat ke Madinah....terasa berat dan sedih di hati bila mengenangkan entah bila aku akan ke sana lagi....namun, ku pujuk hati agar sabar dan redha dengan perpisahan pada petang itu...



Perjalanan ke Madinah mengambil masa hampir 5 jam...seperti perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth.... kami banyak berehat dan tidur sepanjang perjalanan, kerana hari sudah larut malam...hanya berhenti di kawasan rehat dan hentian bagi mengerjakan solat maghrib dan isyak serta makan malam....kemudian, apabila tersedar dari tidur, aku sudah berada di bandar Madinah....keadaan di sana sudah berubah...banyak hotel-hotel besar berdiri megah di sekeliling Masjid Nabawi....namun, tidaklah terlalu jauh berbeza dengan keadaan ketika lapan tahun ku menziarahi Madinah dulu...Cuma sekarang, kawasan masjid sudah diperbesarkan...dan kebanyakan hotel-hotel yang dibina bertaraf 3 hingga 5 bintang....


Setelah tiba di hotel yang dijanjikan oleh pihak agensi, kami berehat dan tidur sebentar sebelum bertolak ke Masjid Nabawi untuk solat subuh kira-kira jam 4 pagi... Alhamdulillah, akhirnya, dapat juga aku menjejakkan kaki di masjid mulia itu untuk kali kedua....

Keadaan di Masjid Nabawi jauh berbeza dengan Masjidilharam...ini kerana, tempat solat bagi muslimat dan muslimin telah diasingkan terus....tidak seperti di Masjidilharam, tempat solat muslimat dan muslimin hanya dipisahkan oleh rak-rak Al-Quran yang menghadkan suatu kawasan bagi saf-saf muslimat...para suami hanya dibenarkan menghantar isteri di pintu pagar masjid sebelum mereka pula bergegas ke tempat solat muslimin.... kawalan ketat juga berlaku di pintu masuk masjid bagi kawasan solat muslimat.... kamera, handphone berkamera dan makanan serta minuman di rampas sama sekali...namun, bagi yang pandai berhelah, mungkin terlepas...disebabkan itu juga lah, aku dan famili tidak berani membawa kamera ke dalam masjid....tiada suatu gambar pun di dalam masjid yang sempat kami rakamkan untuk kenangan...sebaliknya, hanya dapat bergambar di kawasan luar masjid....tidak sepeti di Masjidilharam, kawalan tidaklah seketat di Masjid Nabawi...itulah sebabnya, banyak gambar kenangan yang sempat kami rakamkan dari dalam Masjidilharam...;)


Menurut pemandu pelancong yang bersama kami sepanjang permukiman di Madinah, orang Madinah mempunyai suatu mazhab di mana, mereka agak bersikap seperti ’menganaktirikan’ muslimat dalam hal-hal beribadah.... disebabkan itulah, kawalan terlalu ketat diberikan di bahagian muslimat... di samping itu, hanya ada selang waktu tertentu diperuntukkan bagi muslimat untuk menziarahi Makan Rasul dan bersolat di Raudhah...iaitu dari jam 7.30 hingga 10 pagi. Selepas waktu itu, muslimat tidak dibenarkan solat di kawasan Makam Rasul dan juga Raudhah...tidak seperti yang berlaku di bahagian muslimin, di mana mereka dibenarkan solat dan berdoa sepuas-puasnya di Raudhah kecuali pada waktu ziarah muslimat ke kawasan tersebut...


Walau bagaimanapun, ku tetap bersyukur kerna berpeluang menziarahi Makam Rasul dan bersolat dua rakaat serta berdoa di Raudhah...sempat ku sampaikan salam sanak saudara jua sahabat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW..itu pun hanya dari kejauhan kerana muslimat tidak dibenarkan berada hampir atau rapat dengan makam Rasul, ditambah dengan keadaan yang sesak dan ramai orang, ku hanya memandang dari kejauhan dan menyampaikan salam....

Ketika bersolat di Raudhah juga, kami dikelaskan terlebih dahulu mengikut bahasa yang digunakan....untuk jemaah dari Malaysia, Indonesia dan Brunei, kami dikumpulkan dalam kelas yang sama iaitu ’Bahasa Melayu’....dan semua jemaah dikumpulkan mengikut kumpulan bahasa masing-masing, dan dipanggil masuk ke Raudhah mengikut giliran....

Paling aku terkilan, solat yang dapat dilakukan tidaklah sekhusyuk yang diharapkan, kerna terpaksa berebut tempat dengan ramai jemaah yang lain....ada juga yang memijak kepala ketika sujud...ditolak ketika rukuk....semuanya kerana peraturan yang ditetapkan sebegitu...lebih terkilan, seusai memberi salam selepas solat, aku serta jemaah yang lain ’dihalau’ keluar dari Raudhah demi memberi peluang kepada jemaah negara lain pula untuk solat di situ....tidak sempat langsung menadah tangan untuk berdoa...semuanya gara-gara peraturan yang diamalkan di sana....

Namun begitu, pada hari kedua ziarahku ke Raudhah, iaitu hari terakhir aku di Madinah, serta semasa melakukan ziarah wida’, sempat ku berdoa sepuas hati di tempat mulia itu, kerna pada hari itu, sambil menunggu jemaah negara lain bersolat, kami dibenarkan menunggu giliran solat di dalam Raudhah, tidak seperti hari sebelumnya, di mana kami disuruh menunggu di luar kawasan Raudhah... Alhamdulillah...


Rutin seharian kami selama 3 hari 3 malam di Madinah adalah menunaikan tiap waktu solat secara berjemaah di Masjid Nabawi selain membaca ayat-ayat suci Al-Quranulkarim pada selang waktu solat atau semasa menunggu azan berkumandang.... Dalam perjalanan pulang dari masjid ke hotel, terdapat banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barang, termasuk juga buah-buah kurma, kismis, tin, zaitun dan banyak jenis kekacang...kami membeli buah-buah kurma dan lain-lain makanan sekadarnya untuk dibawa pulang ke Malaysia...selain itu, kami juga membeli sedikit barangan tanda kenangan dari Bumi Anbiya’...


Pada hari kedua di Madinah, kami dibawa oleh wakil agensi menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Madinah...di antara tempat-tempat yang kami ziarahi adalah Jabal Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh, Masjid Quba’, dan Kebun Kurma..pada malamnya pula, selepas isyak, kami menziarahi perkuburan Baqi’ yang berdekatan dengan Makam Rasul....


Tempat pertama yang kami lawati adalah Jabal Uhud....di bukit inilah terjadinya Perang Uhud iaitu perang kedua di antara 1000 umat Islam dan 3000 musyrikin Quraisy...wakil agensi yang bersama-sama kami ke situ menerangkan serba sedikit di mana tempat persembunyian tentera-tentera Islam dan musyrikin Quraisy semasa peperangan berlangsung serta tempat terjadinya tragedi di mana para mujahidin Islam tertewas setelah mengingkari arahan Rasulullah SAW agar tidak turun ke kaki bukit Uhud... di kaki bukit Uhud itu juga, terdapat kawasan berpagar yang menempatkan kubur-kubur para mujahidin serta sahabat-sahabat Rasulullah yang syahid di medan Perang Uhud...setibanya kami di sana, wakil agensi itu mengepalai acara bacaan doa untuk dihadiahkan buat para sahabat dan mujahidin yang bersemadi di sana....moga peristiwa sejarah yang terjadi memberi pengajaran buat kita umat Islam hari ini agar lebih menghayati jerih perit dan pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat demi mempertahankan ketinggian dan kesucian agama Islam yang kita ’warisi’ saat dan tika ini...


Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Masjid Qiblatain...masjid ini dinamakan ’Dua Kiblat’ kerana semasa Rasulullah sedang bersolat menghadap Masjidil Aqsa, iaitu kiblat pertama umat Islam, Allah telah menurunkan perintah agar kiblat umat Islam diubah ke arah Kaabah... oleh yang demikian, Rasulullah bersolat semula dan menghadap ke arah Kaabah, yang kini kekal menjadi kiblat umat Islam seluruhnya...semasa tiba di sana, masjid ini sedang mengalami renovation, namun demikian, kami sempat solat sunat tahiyatul masjid di sana....alhamdulillah...=)
Setelah menziarahi Masjid Qiblatain, kami seterusnya ke Masjid Tujuh....namun, kami tidak singgah bersolat di masjid tersebut kerana keadaan agak sesak....di tambah pula dengan cuaca tengahari itu terlalu panas...kami hanya menyinggah di tepi jalan dan menyaksikan masjid tersebut....mengikut sejarahnya, terdapat tujuh buah masjid di kawasan berkenaan...dan setiap satu masjid dinamakan dengan nama para sahabat terdekat Rasulullah...namun, menurut wakil agensi yang bersama kami, hingga saat ini, hanya ada dua masjid sahaja yang kekal, lima lagi sudah roboh barangkali...walau bagaimanapun, hanya kelihatan satu masjid sahaja yang agak sempurna, satu lagi hanya tinggal tiang-tiang batu sebagai tinggalan sejarah yang ada....



Kemudian, kami terus ke Masjid Quba’....Masjid ini adalah masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW....menurut hadis Rasulullah SAW, sesiapa yang mengerjakan solat dua rakaat di masjid ini, mereka akan dikurniakan ganjaran pahala bersamaan dengan ganjaran pahala mengerjakan umrah...oleh itu, menurut wakil agensi itu, ahli Madinah atau orang-orang yang tinggal di Madinah mempunyai kelebihan di mana, mereka tidak perlu bersusah payah mengerjakan tawaf, saie dan tahalul kerana dengan hanya bersolat dua rakaat di masjid ini, mereka akan mendapat ganjaran pahala yang sama seperti orang Mekah yang dapat mengerjakan umrah di Mekah....alhamdulillah....


Selepas itu, kami bergegas menziarahi Kebun atau Ladang Kurma yang terletak berhampiran Masjid Quba’...itulah pertama kali aku menziarahi kebun kurma kerna pada kali pertama ke tanah suci pada tahun 2000 dulu, kami tidak berkesempatan ke sana...hanya sempat melawat pasar kurma pada ketika itu...setibanya di kebun kurma, kami disambut oleh pekerja-pekerja di situ dengan jamuan teh dan pelbagai jenis buah kurma yang dipetik dari kebun tersebut....aku rasa kagum dan terpegun melihat tandan-tandan buah kurma yang terlalu banyak di atas pokok.....sekali pandang, tidak jauh bezanya dengan pokok dan buah kelapa sawit yang terdapat di Malaysia...


Berada di kebun tersebut, dapat ku kenang semula episod-episod dalam ’Cinta Madinah’ yang pernah popular di TV3 suatu masa dulu...scene-scene dalam jalan cerita drama tersebut kebanyakannya dilakukan di Madinah dan salah satu scenenya adalah di kebun kurma tersebut...=)


Alhamdulillah... akhirnya niat dan hasrat melihat pokok kurma secara dekat tercapai jua...kerna sebelum ini, tertanya-tanya juga bagaimana agaknya bentuk pokok kurma dan dahan-dahan serta buah kurma yang masak ranum di atas pokok....melihat buah-buah kurma yang masak ranum di tandan-tandan pohon kurma, teringatku pada sejarah kelahiran Nabi Isa ’Alaihissalam...di mana selepas Maryam selamat melahirkan Nabi Isa, beliau menyandar sambil memukul-mukul dahan pohon kurma tempat beliau berteduh, lalu buah-buah kurma pon jatuh dan beliau memakan buah kurma tersebut demi mendapatkan sedikit tenaga....tindakan beliau menyandar serta memukul pohon kurma tersebut dijadikan sebagai ’asbab’ ke atas rezeki yang ALLAH kurniakan buat beliau...ini menunjukkan bahawa, untuk mendapatkan sesuatu yang kita hajati, kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh kerna itulah yang menjadi ’asbab’ kejayaan atau kurniaan yang ALLAH limpahkan buat insan bergelar hamba....setelah puas mengambil gambar-gambar kenangan di kebun kurma tersebut, kami membeli sedikit buah tangan dari situ untuk dibawa pulang ke pangkuan keluarga dan sanak-saudara...Setelah itu, kami pulang ke hotel untuk beristirehat sebelum tiba waktu Zohor...

Pada waktu malamnya, kami telah dibawa oleh wakil agensi tersebut menziarahi perkuburan Baqi’...iaitu berhampiran dengan Makam Rasul...pada mulanya, kami bercadang menziarahi tempat itu pada awal pagi selepas Subuh hari tersebut, namun, disebabkan aku, emak dan adikku sesat dan tidak jumpa jalan ke sana, kami menukar rancangan tersebut ke waktu malam antara solat maghrib dan isyak... namun, nasib tidak menyebelahi kami pada malam itu, kerana perkuburan tersebut ditutup untuk ziarah pada waktu malam....walupun begitu, menurut kata wakil agensi tersebut, hanya ada waktu tertentu sahaja muslimat dibenarkan masuk atau menziarahi perkuburan tersebut....walaupun tidak dapat masuk, kami tetap menghadiahkan doa buat sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang disemadikan di perkuburan tersebut di tangga berhampiran pintu masuk ke perkuburan tersebut....

Setelah berada tiga hari tiga malam di Madinah, akhirnya tibalah masanya untuk kami mengucapkan selamat tinggal pada bumi Anbiya’ itu...terasa berat hati ini untuk menamatkan saat-saat manis tika di sana.... kerna timbul persoalan di hati ini, bila lagi agaknya aku berkesempatan untuk ke sana lagi....andai ada umur yang panjang, inshaALLAH bertemu lagi...namun, andai takdirnya mengatasi segala, ku akur pada qada’ jua qadarnya yang terbaik buat setiap hamba...


Setelah melakukan ziarah wida’ ke Makam Rasul, kami bertolak ke Lapangan Terbang Jeddah seawal jam 9 pagi...kerna perjalanan mengambil masa hampir 5 jam...menitis jua air mata ini tika melambai Masjid Nabawi untuk kali terakhir...andai ada pertemuan, inshaALLAH ke temu lagi...


Setibanya di Jeddah, kami check in dan segala proses di lapangan terbang berjalan lancar alhamdulillah....dan kami berlepas dari lapangan terbang Jeddah ke Karachi, Pakisan pada jam 10.00 malam waktu Mekah...hampir 3 jam berada di udara, kami mendarat di Lapangan Terbang Karachi, dan waktu di sana adalah 5.30 pagi...disebabkan penerbangan kami ke Malaysia pada pukul 3.00 pagi hari berikutnya, dan transit di situ hampir 22 jam, kami diberi penginapan sementara di Airport Hotel...tidak ramai jemaah dari Malaysia yang transit di situ...hanya ada 15 orang termasuk kami sekeluarga 5 orang...

Cuaca di Pakistan tidak jauh berbeza dengan Mekah dan Madinah....panas dan kering....menurut pekerja di hotel tersebut, cuaca pada waktu itu adalah cuaca paling panas di Pakistan....semuanya seakan diatur elok oleh ALLAH....buat aku lebih menghargai nikmat cuaca yang lebih selesa yang selama ini ALLAH kurniakan buat aku di Malaysia....segala puji-pujian selayaknya hanya untukMu ya Rabb...


Disebabkan selang masa yang agak lama sebelum penerbangan yang seterusnya, kami menggunakan peluang tersebut untuk berjalan-jalan dan menziarahi tempat-tempat di bandar Karachi....bak kata abah... ” Bila lagi nak jalan-jalan Karachi?...kalau saja-saja nak mai sini, jangan harapla...”....oleh sebab itu, sesudah Zohor, kami menggunakan khidmat pemandu pelancong yang disediakan di hotel tersebut untuk membawa kami berjalan-jalan sekitar bandar Karachi....



Di antara tempat-tempat yang dibawa oleh pemandu pelancong tersebut adalah Masjid Tuba, tepi pantai Lautan Hindi, kilang membuat kraftangan dari Pakistan seperti marble, karpet bulu, serta cadar dan sarung bantal yang di hias dengan hiasan tangan, city centre, dan terakhir adalah kubu peringatan Presiden pertama Pakistan, iaitu Muhammad Ali Jinnah....



Tempat pertama yang kami lawati adalah Masjid Tuba...keunikan masjid ini adalah ia dibina tanpa satu tiang pun yang menyokong...dan ia boleh memuatkan hampir 5000 jemaah pada satu-satu masa....terasa kagum juga melihat seni bina masjid tersebut, kerna inilah pertama kali aku melihat masjid sedemikian rupa....subhaanALLAH...


Kemudian, kami dibawa mengambil angin di tepi pantai....ternyata angin di tepi pantai Lautan Hindi tersebut sangat kuat kerna ia adalah laut lepas...bagi menarik perhatian pelancong yang menziarahi tempat tersebut, pihak pantai menyediakan unta dan kuda untuk di tunggang oleh pelancong...namun, di sebabkan keadaan cuaca tengahari itu yang agak panas dan angin kering yang bertiup, kami hanya singgah sebentar di tepi pantai tersebut...

Seterusnya, kami dibawa ke kilang yang membuat pelbagai jenis marble atau hiasan kaca, karpet bulu serta cadar dan sarung bantal yang dihias dengan hiasan tangan....kami melihat sendiri sarung bantal dihias dengan hiasan tangan seorang pekerja di situ...sangat unik dan menarik...menurut pekerja di situ, bahan yang digunakan untuk hiasan adalah getah pokok yang dicairkan dan dijadikan gam berwarna....selain itu juga, terdapat banyak barangan kulit di kilang tersebut, semuanya agak murah kerna mata wang Pakistan kecil jika dibandingkan dengan mata wang Malaysia...sebagai tanda kenangan, kami membeli satu karpet yang diperbuat daripada bulu arnab untuk dibawa pulang ke Malaysia...harganya pun jauh lebih murah jika dibandingkan dengan karpet yang sama dibeli di Malaysia...

Kemudian, kami dibawa melihat dan menjamu mata di pusat bandar Pakistan...dalam perjalanan ke pusat bandar, aku dapat melihat rumah kediaman Benazir Bhutto yang terletak tidak jauh dengan pusat bandar...banyak askar atau ranger yang lengkap berpakaian seragam dan bersenapang sedang berjaga-jaga di sekitar rumah beliau....sebenarnya, jauh dalam hatiku saat itu, aku merasa takut dan kurang selamat tika berada di bandar tersebut...ini kerana, askar dan ranger pasti ada atau sedang berjaga-jaga di setiap penjuru jalan di pusat bandar tersebut....mengapa keadaannya sedemikian rupa?...persoalan bermain di benakku....adakah pertelingkahan atau rusuhan sering berlaku?..sehingga perlu ditempatkan seorang atau dua orang ranger di mana-mana.?...


Entahlah...namun, apa yang kurasai, turut dirasai oleh adik bongsuku...semasa kami berhenti sebentar untuk berjalan-jalan di kedai-kedai sekitar pusat bandar itu, adikku meminta dan seakan mendesak untuk pulang....keadaan di sana tidak begitu selesa, kerana terlalu ramai manusia...dan kebanyakan mereka adalah lelaki....jarang sekali ku lihat wanita berada di sana....disebabkan itulah, aku merasa kurang selesa dan tidak selamat berada lama di tempat sebegitu....gaya dan ragam setiap orang juga berbeza...cara mereka merenung dan memerhatikan kami pelancong asing seperti hendak merompak lagaknya....


Tidak ku nafikan, keadaan ekonomi penduduk Karachi agak mundur dan miskin berbanding Malaysia....pantang kereta berhenti di lampu isyarat, pasti ada seorang dua peminta sedekah menghulurkan tangan meminta sedekah dari luar kereta....panorama orang tidur di tepi jalan atau kaki lima bukan suatu pemandangan yang pelik di bandar itu kerna di sana sini, dapat di lihat ’pemandangan’ tersebut....disebabkan itulah, kami tidak membeli apa-apa di pusat bandar, dan meminta pemandu pelancong tersebut meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir kami....selain itu juga, aku dapat melihat kemudahan pengangkutan awam di sana yang agak daif...bas antik yang penuh warna-warni, beca atau lebih dikenali sebagai tut-tut masih banyak di sana....malah, masih ada orang yang menggunakan keldai untuk mengangkut barang dari satu tempat ke tempat lain...terasa terharu dan syukur ku panjatkan atas segala kurniaan Tuhan yang melimpah buat diriku selama ini....



Akhirnya, kami sampai ke destinasi terakhir kami iaitu tugu peringatan Presiden pertama Pakistan, iaitu Muhammad Ali Jinnah....menurut pemandu pelancong tersebut, kebanyakan pelancong yang melawat Pakistan, pasti tidak akan missed untuk menziarahi tugu tersebut....panorama dari tugu peringatan tersebut sangat cantik kerana kami dapat menyaksikan panorama bandar Karachi hampir keseluruhannya dari atas tugu tersebut...


Setelah penat berjalan-jalan, kami terus pulang ke hotel untuk tidur dan berehat sebentar sebelum mengemas semula barang untuk berangkat ke airport pada malam tersebut....akhirnya, pada jam 3.40 pagi, kami berlepas dari lapangan terbang Karachi dan tiba di Lapangan Terbang KLIA pada jam 11.40 pagi....Alhamdulillah....segalanya selamat...pergi dan pulang....

Sesungguhnya segala kenangan, memori dan pengalaman yang tertitip sepanjang dua minggu ini terlalu bermakna buat hati ini....moga coretan ini dapat memberi manfaat pada sahabat jua dapat mengembalikan kesegaran memoriku tika hati ini rindu.....inshaALLAH....

No comments: